Kerajaan Negeri Kedah memberi tempoh seminggu kepada Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Pendang dan agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu lalat di Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang di sini.

Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain menegaskan sekiranya pihak berkaitan gagal bertindak, kerajaan negeri akan campur tangan dalam isu tersebut.

Jelas Tajul, situasi itu menyebabkan pelajar, guru dan kakitangan sekoleh berkenaan dibelenggu masalah lalat yang kritikal serta berpanjangan sejak Jun tahun lalu.

"Kebimbangan kita ialah perkara ini (isu lalat) boleh membawa kepada keracunan makanan khususnya melibatkan penyediaan makanan di kantin.

"Saya sangat berharap jabatan berkaitan khasnya Jabatan Alam Sekitar untuk mengambil tindakan lebih efektif," kata beliau ketika ditemui Astro AWANI.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan 987 pelajar sekolah berkenaan tertekan dengan masalah lalat.

Keresahan itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mereka mendakwa pelbagai ikhtiar dijalankan untuk menyelesaikan masalah tersebut namun gagal.