Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) bimbang isu patuh syariah kalangan anak kapal dalam industri penerbangan awam akan berterusan sekiranya tiada kata putus dibuat daripada semua pemegang taruh.

Presidennya Ismail Nasaruddin berkata pihaknya mengalu-alukan sekiranya syarikat memperkenalkan uniform menutup aurat kepada anak kapal tetapi pada masa sama bimbang bakal wujud stigma terhadap anak kapal yang menutup aurat sekiranya mereka juga diarahkan untuk menyajikan minuman beralkohol kepada penumpang.

“Syarikat penerbangan mungkin membenarkan anak kapal bertudung, tetapi dia masih perlu sajikan minuman keras dalam pesawat, terutamanya melibatkan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan laluan antarabangsa,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Katanya, sekiranya ini berlaku ia akan memberikan tekanan kepada anak kapal pesawat yang memilih untuk menutup aurat.

“Kita tidak mahu ada konflik antara pekerja dan majikan seperti mana yang berkaku sebelum ini, apabila majikan boleh memberi amaran dan mengambil tindakan disiplin jika ada mana-mana krew penerbangan yang enggan mematuhi prosedur hidangan dalam pesawat.

“Ini akan menjadi satu tekanan lain kepada pekerja yang akhirnya pekerja tersebut terpaksa berhenti bekerja atas sebab tekanan ini," katanya.

Tambah beliau walaupun pihak pengurusan boleh membuat perubahan kepada jadual kerja anak kapal bagi mengelak konflik sedemikian tetapi ia bukan perkara yang mudah memandangkan majoriti krew pesawat wanita adalah beragama Islam.

“Syarikat penerbangan harus memberikan pilihan yang munasabah kepada mereka sekiranya mereka mahu bertudung,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menyatakan tiada larangan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariah Islam.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar berkata ia juga perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).