Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan pemergian Abdul Bari Asyraf Mohd yang lemas ketika menyelamatkan lima sekeluarga di muara Sungai Terengganu tempoh hari sebagai meninggal dunia dalam syahid.

Beliau berkata, pengorbanan Allahyarham menyelamatkan mangsa insiden berkenaan adalah satu tindakan amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Bari Asyraf atas pemergiannya.

“Sesungguhnya, pengorbanan Allahyarham menyelamatkan mangsa-mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia dan dengan izin-Nya termasuk dalam kategori syahid, Insya-Allah.



“Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: "Orang yang mati syahid ada lima kategori iaitu mati kerana wabak taun, mati kerana sakit berkaitan perut, mati lemas, mati dihempap runtuhan dan mati syahid ketika berperang di jalan Allah,” katanya melalui Facebook pada Ahad.

Tambah beliau, Abdul Bari merupakan contoh akhlak terpuji anak muda.

Beliau turut mencadangkan supaya keluarganya dan penyelamat lain diberi anugerah setimpal dengan keberanian dan akhlak yang disanjung tinggi.

“Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohinya,” katanya.

Mayat Abdul Bari Asyraf ditemui anggota bomba dan penyelamat serta orang awam pada pukul 7.23 pagi Ahad dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu, selepas Zohor.