Bermula hari ini, hanya Masjid Negara sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Terawih dan solat sunat Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, kebenaran itu diberikan kepada Masjid Negara kerana itu satu-satunya rumah ibadat umat Islam yang berada dalam kawasan zon hijau.

Sementara, dua buah lagi masjid utama negara iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam kawasan zon kuning.

"Justeru, daripada tiga buah masjid utama negara yang berada di bawah pentadbiran Jakim, buat masa ini hanya Masjid Negara akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Terawih dan solat sunat Aidilfitri mulai hari ini

"Walau bagaimanapun, pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan, pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dalam tempoh PKPB bagi zon hijau akan bermula hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Paimuzi berkata, pelaksanaan solat berjemaah di masjid perlu mematuhi semua syarat melalui garis panduan yang disediakan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk pihak pentadbiran masjid dan tidak dibenarkan hadir ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan pentadbiran masjid.

"Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal.

"Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya dari wabak COVID-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa," ujarnya.