Tindakan jijik empat pelajar sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti Melaka yang bertindak memasukkan botol deodoran ke dalam kemaluan rakan perempuan mereka minggu lalu, membawa padah apabila kesemua mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Keempat-empat tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan hubungan seks dengan objek dengan cara memasukkan satu botol deodoran ke dalam kemaluan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun di sebuah bilik sekolah berkenaan sekitar 5 petang, 9 April lalu.



Justeru, kesemua tertuduh yang masih bersekolah didakwa mengikut Seksyen 377C(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Ruvina Mohd Rawi memohon jaminan tidak dibenarkan dengan alasan bimbang salah seorang tertuduh akan menghilangkan diri kerana akan tamat tempoh perintah sekolah pemulihan akhlak pada Mei ini manakala tiga yang lain pada tahun depan.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 setiap seorang dan syarat tambahan dikenakan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili keempat-empat tertuduh kemudian memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan alasan kesemua berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Tambahnya, sekiranya jumlah tinggi dikenakan, tertuduh yang tidak mampu membayar akan dihantar ke Penjara Sungai Udang dan keadaan itu tidak sesuai bagi kesemua mereka yang masih muda.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 17 Mei ini sebagai tarikh laporan perubatan dan sebutan semula kes.

Ahmad Sazali turut memerintahkan tertuduh untuk diasingkan daripada mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.