Masyarakat harus bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada kerajaan usaha untuk membendung jenayah seksual kanak-kanak, kata Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata langkah kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual kanak-kanak 2017 pada sesi persidangan Parlimen sekarang khusus bagi menangani jenayah seksual kanak-kanak harus seiring dengan penyertaan masyarakat.

"Masyarakat harus membuat keputusan atau cuba membantu dalam perkara ini. Masyarakat sering bersikap takut atau malu untuk melaporkan," kata beliau dan menambah masyarakat perlu bersedia untuk membantu kerajaan dalam perkara ini.

Beliau berucap pada sesi Kolokium Kehakiman Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bertajuk "Rule of Law and Human Rights - Challenges & Opportunities" yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Razali berkata siapapun tidak dapat menafikan atau menyembunyikan realiti bahawa jenayah seksual kanak-kanak wujud dalam masyarakat.

Razali berkata jenayah ini bukan sahaja harus dibendung melalui penggubalan rang undang-undang itu tetapi masyarakat juga tidak harus bertoleransi dengan jenayah ini.

Razali juga mengalu-alukan langkah kerajaan negeri Kedah membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang tidak mempunyai sijil kelahiran mendaftar di sekolah di negeri itu.

Beliau berkata langkah ini memberi perspektif baharu mengenai hak asasi manusia melalui sistem pendidikan dan sesiapa pun tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana warganegara untuk mendapat akses kepada pendidikan.

Beliau berkata terdapat ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini dinafikan akses kepada pendidikan kerana Akta Pendidikan 1996 hanya membenarkan warganegara Malaysia diberi keutamaan kepada pendidikan.

Razali mengulas kes Tan Yao Chun, 7 tahun, dari Changlun, yang tidak dapat mendaftar di sekolah kerana ayahnya, seorang warga negara Malaysia tidak mendaftarkan kelahirannya dengan Kedutaan Malaysia di Thailand.

-- BERNAMA