Rata-rata masyarakat kurang bersetuju dengan pertimbangan Kementerian Pengangkutan untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres antara 10 hingga 30 peratus walaupun setakat ini kementerian masih belum membuat kata putus mengenainya.

Menurut penuntut Universiti Malaya Lukman Afifi, 24 tahun, sekiranya perkara itu menjadi realiti ia pastinya akan menambah beban mereka yang sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung atau untuk ke tempat lain.

"Macam saya, saya sering gunakan bas ekspres untuk balik ke rumah keluarga di Pulau Pinang sebulan sekali, tambang sehala sahaja sudah RM40 dan bila sampai di sana saya perlu mengambil Grab pula dari stesen bas ke rumah saya.

"Sekiranya tambang bas ekspres dinaikkan, saya yakin bukan hanya penuntut seperti saya akan terbeban sebab pastinya orang lain yang gunakan perkhidmatan itu akan terbeban, kerana ia melibatkan penambahan bajet yang perlu seseorang fikirkan khasnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kerisauan Lukman itu turut disokong oleh pelajar sekolah menengah Bustami Roslan, 17 tahun, yang menyatakan pihak kerajaan seharusnya prihatin dalam mendengar rintihan rakyat yang sudahpun terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat.

"Dengan kerajaan sekarang yang berkonsepkan Malaysia Baharu, seharusnya mereka perlu lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat dengan harga barang dan kos sara hidup semakin tinggi sekarang.

"Bagaimana dengan nasib mereka yang setiap hari berkira-kira duit yang ada hanya semata-mata untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres, teksi atau e-hailing, jika harga salah satu daripadanya meningkat? Pastinya akan membebankan mereka justeru saya berharap kerajaan mempertimbangkan kembali perkara ini," kata Bustami ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berharap sekiranya tambang bas ekspres dinaikkan pada masa akan datang, sekurang-kurangnya pengusaha bas perlu turut mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka dan pemilik stesen bas juga dapat melakukan perkara yang sama.

Semalam, Timbalan Menteri Kementerian Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dilaporkan berkata pihak kementerian masih mempertimbangkan perkara itu walaupun setakat ini masih belum ada kata putus mengenainya kerana bersimpati dengan syarikat bas yang terpaksa menanggung kos operasi yang meningkat saban hari.

"Sebelum ini kementerian ada mempertimbangkan untuk menaikkan kadar 10 hingga 30 peratus namun usah khuatir jika naik pun (mungkin) secara minimum. (Ini berikutan) masalah terhadap pengusaha bas yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, setakat ini kementerian belum ada sebarang keputusan bagi menentukan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom.

Dalam majlis itu, Che Ibrahim berkata E-Mutiara menerusi persefahaman itu telah membeli 19 buah bas baharu jenama Scania bernilai kira-kira RM20 juta untuk kegunaan bermula Januari 2019 dan kesemuanya dilengkapi teknologi terkini dengan penjimatan bahan bakar sebanyak lima peratus selain mempunyai ciri kurang pengeluaran karbon.

November lepas, Kamarudin turut dipetik sebagai berkata, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus dan kementeriannya menimbangkan kenaikan munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna. -- Bernama