Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan melawat University of Sheffield Advanced Manufacturing Research Centre (AMRC) pada 24 Jan ini, sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya ke London.

Beliau dijangka bertemu graduan bidang kejuruteraan AMRC dan meningkatkan peluang kerjasama strategik dengan rakan industri yang bekerjasama dengan universiti tersebut seperti Boeing, Airbus, Rolls-Royce, BAE Systems dan pembuat kereta berprestasi tinggi iaitu McLaren.

Lawatan kerja itu turut disertai Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff.

Menurut EMGS dalam satu kenyataan pada Selasa, lawatan tersebut merupakan sebahagian usaha untuk meningkatkan kerjasama strategik antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang kejuruteraan dan pembuatan.

Pusat berkenaan telah melatih lebih 1,300 perantis sejak dibuka empat tahun lepas.

-- BERNAMA