Itu persoalan yang bermain di benak fikiran pengamal media hari ini.

Baharu beberapa jam sesi persekolahan 2020 bermula, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dikhabarkan akan meletak jawatan dalam masa terdekat ini.

Menurut portal berita Malay Mail, beberapa sumber yang rapat dengan perkembangan terbaharu ini mendakwa Maszlee akan meninggalkan jawatan yang disandangnya selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malay Mail turut melaporkan Maszlee telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad awal petang Khamis.



Astro AWANI turut menghubungi beberapa sumber yang tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.

“Saya sedang menunggu sidang media yang akan diadakan oleh Maszlee petang ini,” kata seorang pegawai Setiausaha Akhbar sebuah kementerian kepada Astro AWANI pada petang Khamis.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dijangka akan mengadakan sidang media di Kementerian beliau pada pukul 4.30 petang ini.

Semalam, Maszlee telah menyenaraikan lima teras Kementerian Pendidikan buat tahun 2020 di laman Facebook beliau. Antara yang digariskan termasuk tiada lagi sekolah-sekolah daif dan tiada kekangan buat anak-anak dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Maszlee turut memperkenalkan tanda pagar #JalanTerus dalam muat naik beliau.



Astro AWANI akan menyediakan siaran langsung Sidang Media Maszlee Malik dari Kementerian Pendidikan, Putrajaya sekitar 4.30 petang di Saluran 501 Astro AWANI dan Live TV (www.astroawani.com/live-tv).