Maut dirempuh ketika berteduh di bawah jejambat

Maut dirempuh ketika berteduh di bawah jejambat
Seorang kakitangan PLUS maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berteduh dibawah sebuah jejambat - Gambar Ehsan Bomba
PERAI: Seorang kakitangan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berteduh  di bawah jejambat di Kilometer 139 dari Seberang Jaya menghala ke Kawasan Perindustrian Perai, pagi tadi.

Abdul Fadhil Ab Razak, 29, yang menunggang motosikal dari Taman Wira, Sungai Petani, Kedah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, kemalangan berlaku kira- kira jam 6.05 pagi apabila kereta yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun terbabas dan merempuh dua penunggang motosikal yang berhenti di bawah jejambat itu ketika berteduh dari hujan.

Akibat rempuhan itu salah seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah manakala seorang lagi terselamat dari kejadian berkenaan dan hanya mengalami cedera ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan seorang penunggang motosikal berusia 55 tahun yang mengalami cedera ringan dalam insiden itu turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Nik Ros Azhan berkata, pemandu kereta yang berasal dari Tasek Gelugor itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.