Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki berusia 40-an di hadapan sebuah perhentian bas di Jalan Cheras di sini, pada tengah hari ini.

Mangsa dipercayai terjun daripada kenderaan yang dinaikinya - sebuah van berwarna putih yang dipandu seorang lelaki - dan jatuh berguling di hadapan perhentian bas tersebut.

Kejadian pantas itu disaksikan beberapa pengguna jalan raya.

Mangsa yang berlumuran darah di kepala maut serta-merta di lokasi kejadian.

Polis mengambil beberapa rakaman dari kamera litar tertutup berhampiran lokasi kejadian bagi mengenal pasti senario.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk bedah siasat.