Seeorang lelaki maut akibat terkena serpihan pengisar mesin pemotong rumput di ladang tanam rumput di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa warga Indonesia, Sumijo Sukardi, 63, sedang mengasah mata pisau menggunakan pengisar tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 10.25 pagi.

Menurutnya, seorang lelaki dimaklumkan terbaring di lokasi kejadian berhampiran Batu 29 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Pisau mesin rumput terpelanting, dua lelaki didakwa di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Kes mesin potong rumput: Sekolah dapat surat amaran

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar 14 tahun maut terkena pisau pemotong rumput


"Hasil siasatan Pasukan Forensik Cheras mendapati mangsa adalah warga negara Indonesia yang bekerja sebagai pemotong rumput.

"Siasatan di tempat kejadian menjumpai sebuah mesin potong rumput dan serpihan batu pengisar yang mempunyai kesan darah bersebelahan mangsa.

"Bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati mangsa mangalami kesan kecederaan di leher akibat terkena serpihan pengisar yang patah semasa mengasah mata pisau," katanya.

Bak Phai berkata, punca kematian disebabkan kecederaan di leher akibat objek tajam.