Perasaan tidak sedap hati kerana teringatkan anak yang pulang lewat sama sekali tidak dijangka menjadi petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Itulah luahan hati Chik Saad, 40, ibu kepada Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, iatu remaja yang maut akibat tersepit pada lif barang di tempat kerjanya, petang semalam.

Menurut Chik, anak sulung daripada dua beradik memulakan harinya dengan rutin biasa sejak mula bekerja di kedai perkakas dan aksesori di Jalan Sukamari, dekat pekan Pendang empat bulan lalu.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian itu selepas rakan sekerja anaknya datang ke rumah kira-kira jam 4 petang dan memberitahu mengenai insiden yang berlaku.

BACA: Bapa longlai lihat mayat anak tersepit lif

Hanya Allah saja yang tahu perasaannya ketika itu, kerana arwah banyak membantu keluarga mencari wang sejak berhenti sekolah tingkatan dua.

Katanya, setiap hari dia tidak lupa berpesan pada anaknya supaya berhati-hati ketika bekerja kerana dia masih muda dan bimbang keselamatannya itu tetapi arwah memintanya supaya jangan risau.

“Kira dia bagus (baik). Kita marah pun dia tak melawan,” ujar Chik tentang sifat anaknya itu.


Menurutnya, malam tersebut anaknya itu keluar menghantar barang sekitar jam 12 tengah malam dan apabila dihubungi, anaknya menjelaskan mahu singgah sebentar di rumah rakan sebelum pulang.

Namun katanya, dia redha dengan kejadian yang berlaku pada anaknya itu dan menganggap ia sebagai takdir kerana arwah seorang anak yang baik.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Palas, Pendang siang tadi, nenek Allahyarham, Siti Fatimah Yusuf, 59, turut bersedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

Beliau berharap supaya orang ramai berhenti menyebar gambar arwah cucunya di tempat kejadian itu menerusi media sosial kerana ia boleh mengganggu emosi keluarga.

“Dia dah tak ada. Janganlah tunjuk-tunjuk gambar dia yang dah taka da. Berhentilah. Tak payah sebar gambar,” luahnya.

Dalam kejadian semalam, seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas tersepit pada lif barang di kedai perkakas dan aksesori di Jalan Sukamari, Pendang.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kesan luka dari leher sampai ke dada sementara mukanya calar akibat terseret pada jeriji lif.