Keputusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk membatalkan operasi Suasa Airlines dan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd adalah kekal demi kepentingan pengguna serta memastikan industri penerbangan yang berdaya tahan.

MAVCOM dalam satu kenyataan pada Selasa menjelaskan, pematuhan undang-undang dan peraturan adalah keperluan asas untuk penyertaan dalam industri.

Menurut kenyataan itu lagi, Suasa Airlines didenda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada Januari lalu kerana beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah.

Justeru, MAVCOM menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Airlines, Kapten Sheikh Salleh Abod dan Presiden Eaglexpress, Kapten Azlan Zainal Abidin bahawa di bawah pentadbiran terdahulu, suruhanjaya itu memberi layanan secara tidak adil kepada mereka sehingga mengakibatkan kerugian ratusan juta.

Kenyataan itu turut menyebut, Suasa Airlines telah mengendalikan penerbangan komersil tidak berjadual dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 22 Julai 2016 membawa 140 penumpang atas alasan mengadakan penerbangan demonstrasi walaupun permohonannya untuk mengendalikan penerbangan ditolak kerana syarikat penerbangan itu tidak memiliki ASP.

Mengenai Eaglexpress, MAVCOM berkata ASP syarikat itu dibatalkan kerana gagal menukar kedudukan pemegang saham negatifnya, meningkatkan rizab tunainya kepada RM30 juta dan menyelesaikan isu gaji yang telah lama berlarutan serta faedah pekerja yang berkaitan.

Media pada Selasa melaporkan Kapten Sheikh Salleh menyatakan sebaliknya bahawa Suasa Airlines telah memperoleh ASP dari Jabatan Penerbangan Awam untuk mengendalikan penerbangan ke Langkawi dan diberitahu untuk membayar denda dengan jaminan satu lagi lesen akan diberikan. Bagaimana, sehingga hari ini, syarikat penerbangan itu belum menerima ASP.

Sementara itu, Kapten Azlan dilaporkan berkata rizab berjumlah RM30 juta adalah untuk memastikan dana yang mencukupi bagi pembayaran pampasan kepada penumpang sekiranya berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Eaglexpress adalah syarikat penerbangan sewa khas yang memajak pesawat dan menyediakan penyelenggaraan serta kru kepada syarikat penerbangan lain termasuk Saudi Airlines dan pihak-pihak yang menggunakan khidmat syarikat itu bertanggungjawab bagi pampasan kepada penumpang.

Beliau juga mendakwa MAVCOM enggan memberi lanjutan untuk memenuhi keperluan tersebut, menyebabkan reputasi syarikat itu mengalami kerosakan dan kerugian. -- Bernama