Mayat ahli perniagaan wanita yang maut dalam kejadian tembak semasa sedang memandu di Taman Pekaka 1, Glugor di sini semalam, ditempatkan di Rumah Pengebumian Hokkien Batu Gantung di sini, selama lima hari untuk tujuan penghormatan terakhir.

Mayat mendiang Ruby Lee Poh Ai, 49, selesai dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang pada 3 petang tadi dan dituntut keluarganya sebelum dibawa ke rumah pengebumian.

Suami mangsa, Saik Kum Guan, 50-an, yang ditemui di rumahnya di Tanjung Bungah di sini pagi tadi berkata beliau sedih dengan kejadian yang menimpa isterinya dan menganggap ia satu tragedi hitam.


"Saya tidak boleh bercakap panjang kerana perlu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk memberi keterangan sebelum ke HPP bagi menguruskan mayat isteri," katanya.

BACA: Ahli perniagaan wanita maut ditembak di Sungai Dua

GALERI FOTO: Ahli perniagaan wanita maut ditembak di Sungai Dua

Dalam pada itu, seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata mayat Ruby ditempatkan di rumah pengebumian bagi membolehkan upacara keagamaan dilakukan selain untuk keluarga serta rakan-rakan memberi penghormatan terakhir.

Lelaki itu berkata anak perempuan mangsa yang sedang menuntut di sebuah universiti di England juga dalam perjalanan balik ke Malaysia bagi memberi penghormatan terakhir kepada ibunya.

Dia dijangka tiba malam ini.

"Ruby mempunyai dua anak - seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Anak lelakinya tinggal bersamanya," katanya ketika ditemui di Batu Gantung di sini, hari ini.


Katanya, seluruh anggota keluarganya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Ruby dan berharap polis dapat menjalankan siasatan secara terperinci serta menahan suspek secepat mungkin.

Beliau berkata Ruby seorang yang baik, peramah dan disenangi anggota keluarga selain pemurah serta selalu menderma kepada badan kebajikan.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, mangsa yang memandu kereta jenis BMW seorang diri dihampiri dua lelaki menunggang motosikal yang melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

Mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan itu ditembak dari cermin sisi pemandu dan daripada 10 tembakan itu enam das tembakan mengenai dadanya. -- Bernama