Seorang pengutip sampah terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan dalam bakul plastik di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian, di sini pada Isnin.

Mayat yang masih bertali pusat ditemui kira-kira jam 1.45 petang ketika lelaki berkenaan meneliti sebuah bakul bertutup berwarna biru, sebelum ternampak helaian rambut dalam gulungan tuala berwarna biru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, hasil pemeriksaan menemui bayi yang cukup sifat dan bertali pusat, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Bayi tersebut dijumpai di dalam sebuah bakul di kawasan longgokan sampah. Hasil daripada pemeriksaan pihak hospital tadi, mengatakan (bayi itu) telah pun meninggal dunia.

“Anggaran berat (bayi), kita tak dapat nak pastikan sebab forensik sedang membuat pemeriksaan.

“Kita juga tidak menjumpai sebarang dokumen atau nota, cuma bayi tersebut dibaluti sehelai tuala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. - Foto Astro AWANI

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan mayat bayi berkenaan di situ.

Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.