Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui terapung di Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit pada Rabu.

Menurut seorang peniaga, Rohayu Nazira Ngah, ketika itu dia baru tiba di kedainya untuk memulakan operasi sebelum dikejutkan dengan penemuan itu.

Jelasnya lagi, mayat berkenaan di temui kira-kira 100 meter dari lokasi premisnya.

“Mula-mula saya sampai di kedai pada pukul 3.30 kemudian saya lihat polis dan orang ramai di pantai.

“Orang ramai memaklumkan ada orang buang bayi kemudian mayat dijumpai di persisir pantai yang kemudian dijumpai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

Pihaknya percaya bayi berkenaan baru dilahirkan dan siasatan lanjut masih giat dijalankan.

Mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.