Penduduk Bandar Tun Razak, di sini, digemparkan dengan penemuan mayat bayi perempuan oleh jemaah Surau al-Raudhah sekitar jam 6 pagi Ahad yang diisi dalam beg di hadapan tangga surau itu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Raudhah, Mahmud Yusof, 60, berkata, selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah sekitar jam 6, mereka terdengar jemaah kanak-kanak bising di belakang saf dan mengatakan ada beg berbau busuk.

Beliau terus bangun dan pergi melihat beg yang terletak di hadapan tangga surau itu dan cuba memastikan kandungan dalam beg dengan memegang serta mengangkatnya.

“Saya pegang dan angkat beg itu, rasa berat berat serta benda di dalamnya lembik selain ada bau darah. Kemudian saya lihat berhampiran dengan beg itu memang ada kesan darah di atas lantai.

“Saya rasa tidak sedap hati, letak semula dan terus pergi ke Balai Polis Bandar Tun Razak untuk membuat laporan berkaitan penemuan beg yang disyaki ada bayi itu,” katanya.

Beliau yang pulang terlebih dahulu ke surau mendapati ramai jemaah sedang berkumpul di surau dan disebabkan rasa ingin tahu yang tinggi, mereka sama-sama membuka beg itu lalu terkejut melihat memang benar ia mayat bayi.

Menurut Mahmud, ia kejadian kali pertama berlaku di surau berkenaan yang telah wujud sekitar 30 tahun lepas.

"Tidak pernah berlaku kejadian sedemikian dan kami amat kesal dengan kejadian itu serta menzahirkan rasa kasihan ke atas bayi itu.

“Jemaah memang berasa kesian kerana orang berkenaan tidak sepatutnya buat begitu terhadap bayi itu. Jangan biarkan begitu kerana dia (bayi) ni ahli syurga, sebab tidak sanggup hendak lihat bayi dalam keadaan begitu kami tutup dengan sejadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes berkenaan sedang dalam proses siasatan.