Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta di sini, pagi ini.

Baharuddin Che Mat, 60 tahun, yang ketika itu sedang melakukan rondaan di kawasan tapak pembinaan berhampiran, menemui mayat berkenaan dalam sebuah Proton Iswara di kawasan semak di Kampung Wakaf Mek Zainab.

"Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu berada di tempat duduk pemandu," katanya.

Tambahnya lagi, mayat yang sudah berbau dan berulat itu juga turut mempunyai kesan calar di pipi kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Ismail Mat Sidik mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Siasatan lanjut oleh Jabatan Forensik kini sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian mangsa.