Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Pulau Pinang mengesahkan satu mayat telah ditemui di tempat kejadian runtuh struktur jambatan kedua Pulau Pinang.

Satu bahagian struktur itu yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam tadi. Kejadian berlaku di kawasan darat di sekitar Batu Maung.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Shoki Hamzah, pihak bomba telah menggunakan kamera khas sebelum dapat menemui mayat tersebut.

"Kita mungkin memerlukan kira-kira dua jam atau lebih untuk mengeluarkannya," kata Mohamad Shoki. Beliau juga menafikan laporan awal yang menyatakan empat orang telah disahkan mati.

Sebelum ini, sebatang konkrit seberat lebih 1,000 tan serta berukuran 30 meter telah jatuh terhempap ke tanah.

Akibat runtuhan, sekurang-kurangnya sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui terdapat berapa mangsa yang terperangkap.

Sebuah kren juga digunakan bagi mengangkat batang konkrit tersebut.



Difahamkan dua orang yang perempuan yang memandu Perodua Myvi berjaya selamatkan dirinya. Astro AWANI telah menemubual mangsa tersebut.

Difahamkan juga, kerja-kerja pembinaan juga dihentikan buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.

Sehingga setakat ini, punca sebenar kejadian masih tidak dapat diketahui.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang berada di lokasi juga mengesahkan melalui laman Twitternya bahawa struktur sepanjang 30 meter itu telah runtuh.

Menurutnya Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah memberitahu lebih kurang satu atau dua kereta telah remuk akibat runtuhan. Katanya lagi, pihak bomba juga sedang memulakan operasi menyelamat.

Jambatan yang menghubungkan tanah besar di Batu Kawan kepada Batu Maung di pulau itu, dijangka siap pada bulan September tahun ini.

Projek yang menelan belanja RM4.5 bilion itu merupakan sebuah projek di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan ia bakal memudahkan laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Jambatan kedua tersebut mula dibina pada November 8, 2008. Ia merangkumi jambatan berurukan 16.8 kilometer di atas laut dan 6.8 kilometer di atas tanah.