Mayat seorang individu ditemui rentung di dalam sebuah kereta di ladang kelapa sawit di Kampung Banjar, Teluk Intan dekat sini, tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira jam 8.45 pagi memaklumkan terdapat sebuah kereta ditemui terbakar di lokasi.

“Siasatan pihak polis menemui satu mayat yang tidak dikenali identiti rentung terbakar di bahagian hadapan penumpang sebelah kiri bersama kereta berkenaan.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan dibawa dari lokasi lain sebelum dibakar di Jalan Kampung Banjar menghala ke Kampung Selabak, Teluk Intan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Segari Manjung di sini, hari ini.

Menurutnya, polis gagal menemui sebarang bukti berkaitan identiti mayat yang dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.