Mayat dua rakan yang lemas ketika sedang mandi-manda di Air Terjun Hutan Lipur Berkelah dekat sini petang semalam, ditemui oleh anggota penyelamat kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mohd Sani Harul, mayat Muhammad Shahfaris Shahri dan Azfan Muhammad ditemui di dasar air terjun dengan jarak empat meter antara satu sama lain.

"Mayat kedua-kedua mangsa ditemui dekat tempat mereka mandi dan dianggarkan pada kedalaman kira-kira 12 meter.

"Operasi mencari dan menyelamat turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan," katanya di sini, hari ini.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat menguruskan mayat salah seorang mangsa sejurus selepas ditemui. - Foto ihsan Bomba
Kedua-dua mangsa dikenal pasti oleh rakan dan anggota keluarga yang menunggu di kawasan operasi.

Mohd Sani berkata, kedua-dua mangsa dikatakan mandi di pusat rekreasi itu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina bersama 10 lagi rakan, sebelum mereka dilaporkan hilang kira-kira jam 3 petang semalam.

Operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan petang semalam terpaksa dihentikan pada 8 malam ekoran keadaan persekitaran yang gelap.

"Kita menggunakan khidmat helikopter untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian yang berada di tingkat tujuh air terjun berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis," tambah Mohd Sani.

Kedua-dua mangsa berusia 22 tahun dan berasal dari Pandamaran di Klang, Selangor.