Mayat kanak-kanak berusia empat tahun yang terjatuh di lombong berhampiran sebuah resort di sini, ditemui pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mayat Mohd Zafran Akashah Mazlan ditemui pukul 7.04 pagi.

Katanya, anggota bomba membuat pencarian menggunakan tiga unit bot dengan kaedah 'surface searching' sebelum berjaya menemui mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pagi ini.

BACA: Kanak-kanak 4 tahun dikhuatiri lemas di lombong

Terdahulu, Mohd Zafran dikatakan terjatuh ke dalam lombong berhampiran Patro Resort, Jalan Tanjung Tualang, yang mempunyai kedalaman kira-kira 10 meter, pada kira-kira jam 6 petang semalam

Menurut Sinar Harian, anak itu dikhuatiri lemas selepas ibunya menemui selipar anaknya itu terapung di dalam lombong di salah sebuah resort itu.

Sumber terdekat mangsa dipetik berkata, Mohd Zafran bermain sendirian ketika ibunya sedang bekerja sebagai tukang masak di resort tersebut.