Mayat mangsa lemas, Alif Aiman Mohd Adli, 12 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Kelantan di bawah jambatan salor, Pasir Mas pada Rabu lepas ditemui malam tadi.

Mayat berkenaan ditemui penduduk kampung di tebing sungai di Kampung Raja, di sini sekitar jam 7 malam Selasa sebelum dibawa ke unit forensik Hospital Tumpat sekitar jam 10.30 malam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Ibrahim Sharif, pihak polis mengesahkan mayat berkenaan milik pelajar berkenaan berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh ibu bapa mangsa.

Katanya, selepas lapan hari mangsa dilaporkan hilang di sungai berkenaan, akhirnya Alif ditemui.

“Ibu bapa dah buat pengecaman, sah itu anak beliau yang hilang dan lemas di salor. Selepas ini tunggu doktor,” katanya.

Ketika ditemui di unit forensik hospital tumpat malam tadi, Ibrahim menjelaskan, keadaan fizikal mayat masih elok.

BACA: Operasi mencari kanak-kanak hilang di Sungai Kelantan diteruskan

Katanya, proses bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat berkenaan sebelum urusan tuntutan mayat dapat dilakukan oleh ibu bapa mangsa hari ini.

Suasana pilu menyelubungi unit forensik Hospital Tumpat apabila kedua ibu bapanya membuat pengecaman ke atas mayat tersebut.

Rabu lepas, mangsa bersama beberapa orang rakannya dikatakan bermain di tepian Sungai Kelantan di bawah jambatan salor di sini sebelum Alif dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai tersebut.

Beliau dihanyutkan arus deras sewaktu air Sungai Kelantan meningkat naik.