Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kedudukan 1.7 batu nautika ke tenggara Pulau Tuba pada jam 8.10 pagi, hari ini.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, sejurus menerima aduan daripada Kapten Kapal Layar LILI MARLEEN berkenaan penemuan mayat itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang dalam perintah operasi ke lokasi penemuan mayat.

Sebaik tiba di lokasi, anggota bot PETIR 81 terbabit menemui mayat lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna kelabu dan berseluar pendek terapung.

Berdasarkan kepada pakaian pada mayat tersebut dan laporan yang diterima sebelum ini, dipercayai ia boleh dikaitkan dengan kejadian seorang awak-awak bot nelayan jatuh di laut pada kedudukan 4.1 batu nautika utara Pulau Payar pada 15 Julai lalu.

Setiba mayat dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut Langkawi, mayat yang dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Langkawi itu telah diserah kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 15 Julai lalu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya yang berusia 20-an itu dipercayai terjatuh ketika berada dalam bot pukat tunda bersama seorang tekong dan seorang lagi nelayan.

Mangsa dipercayai baru hari pertama bekerja pada hari dia dilaporkan terjatuh menggantikan seorang nelayan yang bercuti.

Zawawi berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berhubung laporan kehilangan anggota keluarga.

Oleh itu, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.