Mayat lelaki bertatu bunga yang ditemui terapung di Sungai Batang Rajang berhampiran Kampung Hilir Kanowit pada Selasa lalu, berjaya dikenal pasti selepas gambar tatu pada lenggan kanannya itu ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, mayat tersebut telah dikenal pasti oleh abang mangsa yang melihat gambar tatu berkenaan selepas ia ditularkan oleh pengguna Facebook.

Katanya, abang mangsa yang dikenali sebagai Salleh Hassan telah membuat aduan di Balai Polis Kapit memaklumkan adiknya, Jeffery Hassan, 33 tahun telah hilang dalam insiden perahu karam setelah terlanggar tongkang di kawasan Karangan arah Kapit sehari sebelum mayatnya dijumpai.

BACA: Mayat lelaki bertatu bunga ditemui terapung di Sungai Batang Rajang

"Mayat si mati ditemui oleh orang awam terapung di Sungai Batang Rajang, 200 meter dari Kampung Hilir, Kanowit sekitar jam 7.10 pagi iaitu kira-kira tiga jam sebelum abangnya membuat laporan polis di Kapit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Tega, sebaik sahaja mengenal pasti identiti mangsa melalui gambar tatu yang ditularkan itu, ahli keluarga mangsa segera datang ke Hospital Kapit untuk membuat pengecaman.

Katanya, berdasarkan tatu dan bekas parut di bahu kanan, mayat ditemui itu disahkan sebagai Jeffery.

"Pemeriksaan awal polis mendapati tiada kesan luka dan unsur jenayah berkaitan kematian mangsa, manakala punca kematian dipercayai akibat lemas lebih 24 jam.

“Ahli keluarga mangsa yang berpuas hati dengan siasatan polis enggan mayat dibedah siasat dan menuntut mayat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Kubu Emma pada kelmarin,” ujarnya.