Mayat seorang lelaki dengan kesan kelar pada leher dan tetakan di kaki ditemukan di kawasan semak berhampiran sungai di Sungai Jarai, Kampung Paya Tok Akil di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Nor berkata mayat tanpa identiti, dianggarkan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, yang lengkap berpakaian kemeja T warna biru dan berseluar jeans itu ditemukan kira-kira 7.30 pagi.

"Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam semak di situ oleh seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis. Kami percaya lelaki itu baru sahaja dibunuh berdasarkan keadaan mayat dan darah yang masih segar di badan mangsa," katanya di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu kerana tiada kesan pergelutan dan senjata atau bahan bukti ditemukan di situ.

"Mangsa dipercayai rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG di lengannya, namun polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri bersama lelaki itu," katanya dan menurutnya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Katanya polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dan menurutnya orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau kenalan diminta tampil atau menghubungi mana-mana balai polis untuk tujuan pengecaman mayat mangsa.

-- BERNAMA