Mayat lelaki dengan keadaan sebelah kaki diikat pada sebuah motosikal ditemui di dalam Sungai Kinta kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah dekat sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tanpa baju dan hanya berseluar jeans warna biru yang tersangkut pada pokok kira-kira pukul 6 petang.

"Selepas dibawa naik ke darat, mayat didapati diikat dengan tali pada kaki kanannya dan tali tersebut diikat pula pada sebuah motosikal jenis Yamaha Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mayat.

"Identiti mayat dipercayai berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun, bertinggian 153 sentimeter dengan berat 50 kilogram itu belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan di kawasan sekeliling," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia dua hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang membengkak dan hasil pemeriksaan menemukan kesan kelar pada leher serta dua kesan luka di belakang kepala mangsa.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik motosikal tersebut telah meninggal dunia, jadi polis tidak pasti sama ada motosikal itu ada kaitan dengan mangsa atau tidak," katanya," sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA