Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai semasa menguji tali 'flying fox' berhampiran Taman Duta Villa, Tamparuli, di sini, Isnin lepas ditemui pada Rabu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam satu kenyataan, memaklumkan mayat mangsa, Tai Kee Ting, 29, itu ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.17 pagi.

"Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Operasi yang disertai seramai 11 anggota dan pegawai itu ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, balai bomba Tuaran menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.28 pagi Isnin lepas dan operasi mencari mangsa digerakkan sejurus panggilan itu diterima.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian Isnin lepas, mangsa dikatakan cuba menyeberangi sungai menggunakan 'flying fox' untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, struktur besi permainan berkenaan tumbang sehingga menyebabkan tali berserta mangsa terjatuh ke dalam sungai.

-- BERNAMA