Mayat penumpang yang didakwa terjatuh daripada feri pada Jumaat lepas dijumpai.

Mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemukan orang awam berhampiran Jeti Swettenham di sini, kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Mayat dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk bedah siasat.

Hasil pemeriksaan menemukan wang RM1, kunci motosikal dan sebuah telefon bimbit pada mangsa.


Dalam pada itu, polis memaklumkan masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian orang hilang sehingga hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi Jumaat, seorang penumpang dipercayai terjatuh ke dalam laut pada kedudukan 1.2 kilometer Barat Laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.


Pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang(APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) terlibat dalam operasi SAR tersebut.


Operasi SAR digerakkan kira-kira jam 9.50 pagi Jumaat sebaik APMM menerima laporan seorang mangsa hilang selepas jatuh dari feri Pulau Undan, Pulau Pinang.