Mayat lelaki warga Jerman ditemui di sebuah bilik hotel di Jalan Love Lane, di sini pagi tadi dalam keadaan berdarah di bahagian kepalanya.

Mayat Martin Leonhard Brill, 46, ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan pintu masuk bilik hotel oleh salah seorang pekerja hotel terbabit kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika ditemui, mayat mangsa yang hanya berselimut dengan sehelai cadar mempunyai kesan darah di bahagian kepala dan juga di dinding bilik.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai jururawat lelaki di Jerman dipercayai menghidapi masalah mental berdasarkan sekeping surat doktor yang ditemui di biliknya.

Berdasarkan keterangan penjaga hotel, jelasnya mangsa sering dilihat berkelakuan ganjil dan berada dalam keadaan tidak terurus ketika menyewa di hotel berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Mangsa juga dikatakan turut membuang semua pakaiannya dan hanya membalut tubuhnya dengan sehelai cadar selain dilihat sering terjatuh dan gagal mengawal pembuangan najis.

Malah mangsa juga dikatakan tidak menjamah makanan dan hanya mengambil alkohol sambil meluahkan perasaan sedihnya setelah kematian adik perempuan serta lelakinya akibat kemalangan jalan raya.

Siasatan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

Polis mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut.