Mayat seorang lelaki berpakaian penuh yang 'disumbatkan' di dalam sebuah troli barang ditemukan di kawasan semak berhampiran loji sisa kumbahan, belakang pasar raya Econsave Kampong Jawa, Shah Alam, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat yang sudah reput itu ditemukan oleh orang awam yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak polis kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Ketika pasukan polis tiba katanya, troli yang 'berisi' mayat itu turut dimuatkan dengan barangan lain termasuk sebuah beg, baju, batang kayu dan kotak.

"Berdasarkan siasatan awal, kita menahan rakan serumah mangsa yang berusia 47 tahun dalam tempoh satu jam penemuan mayat itu.

"Kita mendapati kedua-dua mereka tinggal bersama-sama hampir tiga bulan," katanya di sini pada Sabtu.

Baharudin menambah, daripada keterangan, suspek mengaku memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan objek keras kerana berang dengan tindakan lelaki itu yang mencuri dadah jenis syabu miliknya.

"Suspek juga mengaku yang dia menyimpan mayat mangsa selama tiga hari sebelum menyumbat lelaki itu di dalam troli dan menolak kira-kira 160 meter dari rumahnya," katanya.

Beliau memberitahu, malah suspek juga dikatakan sedang membuat persiapan untuk membakar mayat mangsa namun gagal ekoran cuaca hujan yang berterusan sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, suspek yang mempunyai 10 rekod lampau membabitkan kesalahan dadah itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, polis turut merampas satu batang plastik fiber berukuran satu meter dan satu stering di rumah suspek itu.

Berdasarkan laporan bedah siasat ke atas mangsa yang dipercayai berusia 40-an di Pakar Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Baharudin berkata, lelaki itu mati ekoran hentakan kuat menggunakan objek tumpul di muka.

"Kita juga sedang melakukan siasatan lebih terperinci bagi mencari punca lain yang mengaitkan dengan pembunuhan ini," jelasnya.

Ekoran itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Superintendan Chua Cheong Kheow di talian 019-4217868.