Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui oleh sebuah bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pulau Lakei di sini hari ini.

Mayat ditemui sekitar 1.47 petang tadi dalam satu operasi mencari yang digerakkan setelah menerima laporan daripada penduduk Kampung Senari.

Menurut seorang saksi, Sufian Junaidi, dia bersama empat orang rakannya sebelum itu menemui mayat seorang lelaki yang hanyut ke arah laut berhampiran tempat mereka memancing sekitar 10.30 malam tadi.

Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui oleh sebuah bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pulau Lakei di sini hari ini. - Foto APMM
"Oleh kerana keadaan malam gelap, mayat tersebut hilang dari pandangan dan saya terus membuat laporan polis pada malam tersebut," katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.

Bertindak atas laporan, sebuah bot APMM Sarawak dan sebuah bot Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak dari Balai Tabuan telah dikerahkan seawal jam 7 pagi tadi dalam operasi mencari.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, operasi SAR diketuai oleh agensi dari APMM, manakala kawasan pencarian bagi pihak bomba bermula dari Jeti Maritim menuju ke hulu sungai tersebut.

Pencarian menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’.

"Pada jam 1.47 petang tadi, mayat tersebut telah berjaya ditemui di lokasi lebih kurang 0.4 Batu Nautika dari Tanjung Po. Mayat tersebut telah dibawa bot maritim ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," ujarnya.