Mayat salah seorang mangsa bot karam yang hilang minggu lepas ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Langkawi.

Mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan yang karam selepas dilanda ribut, timbul di permukaan air sekitar pukul 2 petang Selasa, semasa kerja-kerja menunda sedang dilakukan pemilik bot terbabit.

Pengarah Maritim Kedah/ Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said menjelaskan, pada 11 Mei lalu, sub-pusat (MRSC) Menyelamat Maritim Langkawi telah menamatkan operasi carilamat selepas tidak menemui sebarang petunjuk.

Katanya, berkenaan mayat yang dijumpai, bot Petir 81 dan kapal KM Sugut dari Maritim Kedah dan Perlis telah diarahkan ke lokasi mayat dijumpai dan telah membawa mayat ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut.


Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dirujuk ke Hospital Langkawi untuk siasatan lanjut.

Tambah Rozali, kerja-kerja mengapungkan bot akan diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan turut terperangkap di dalam bot berkenaan.