Mayat wanita yang terjatuh ke dalam longkang sebelum dibawa arus deras dalam kejadian di Jalan Paya Terubong semalam ditemui pagi ini.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Noor Afidah Yajunas, 29, ditemui kira-kira jam 7.45 pagi di dalam sungai berhampiran selepas operasi pencarian dimulakan awal pagi.

Jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat Paya Terubong berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dengan kaedah 'water surface rescue', mengharungi anak sungai sehingga ke Bukit Jambul sebelum mayat mangsa ditemui.

Noor Afidah Yajunas. Foto Astro AWANI

Mangsa dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras yang mengalir di dalam longkang menuju ke anak sungai berdekatan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi semalam, mangsa dikatakan terlibat dalam satu kemalangan kecil sewaktu melalui kawasan berkenaan yang dilanda banjir kilat.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam longkang sedalam 1 meter sebelum dihanyutkan arus deras.