Mayat pelajar Tingkatan 4 yang dilaporkan lemas selepas terjatuh dalam Sungai Kulim ditemui terapung di muara Sungai Mengkuang Titi di sempadan Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kira-kira jam 8.17 pagi ini.

Mayat M Hoemaraj, 16 tahun, ditemui orang awam terapung dan dihanyutkan lebih 10 kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Yusuf Shaari, mayat ditemui dalam keadaan terlentang.

Mayat dihanyutkan sejauh 10 kilometer ekoran air Sungai Kulim deras selepas hujan lebat sejak semalam.

Katanya, mayat mangsa telah dinaikkan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Mangsa dilaporkan hilang pada 12 November lalu dan waris mangsa telah membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Lunas kira-kira jam 3 petang.

Keesokan harinya, waris mangsa menemui pakaian mangsa di tebing Sungai Kulim, sebelum datang ke balai meminta bantuan polis untuk mencari mangsa.

Sehari selepas kehilangannya, waris jumpa pakaian mangsa di tebing sungai. Astro AWANI

BACA: Remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai di Lunas

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, operasi mencari mangsa terpaksa dihentikan lewat petang semalam ekoran arus deras.

Operasi mencari mangsa bersambung semua jam 8 malam sehingga pagi tadi.

Mayat dihanyutkan sejauh 10 kilometer ekoran air Sungai Kulim deras selepas hujan lebat sejak semalam. - Astro AWANI