Mayat seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan tergantung di rumahnya di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemui oleh ibunya kira- kira 9.30 malam sebelum menghubungi pihak polis.

Berdasarkan percakapan ibu mangsa, kali terakhir dia melihat anaknya adalah pada 8.15 malam sebelum dia keluar bersama anak perempuannya.


Bagaimanapun, sekembalinya ke rumah dia mendapati anak lelakinya itu sudah tergantung di bahagian tepi tangga di dalam rumahnya.

Mangsa anak kedua dari empat beradik itu bersendirian di rumah ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

"Pasukan polis telah sampai ke tempat kejadian di alamat tersebut dan mendapati ada satu lelaki melayu berumur 16 tahun tergantung di tangga."

"Setakat ini, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat. Jadi sebarang perkembangan lanjut kita akan maklum dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Noorzainy berkata, pemeriksaan polis setakat ini tidak menemui sebarang nota ditinggalkan mangsa.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.