Mayat seorang penumpang feri yang dilapor terjatuh daripada feri Pulau Pinang pada Isnin telah ditemukan.

Mayat Tham Kok Keong, 47, dijumpai nelayan dalam keadaan terapung di Persiaran Gurney pada jam 10.40 pagi ini sebelum memaklumkannya kepada pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata mayat mangsa yang bekerja sebagai Pengurus Ejen Lojistik di Georgetown itu ditemukan pada jarak 4.8 kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

"Pada jam 10.40 tadi, pihak bomba hasil maklumat nelayan telah menjumpai mayat terapung pada jarak 4.8 kilometer dari tempat di mana tempat mangsa itu terjun di kawasan Gurney Drive dan bawa balik ke lokasi ini.

"Hasil pengecaman awal memang sah si mati hasil daripada kad pengenalan yang dijumpai dalam kereta... si mati Tham Kok Keong, 47, dari Air Itam, Pulau Pinang," kata Noorzainy.

Noorzainy berkata mangsa telah berpisah dengan isteri dan mempunyai dua anak dan pihak polis sudah memaklumkan penemuan mayat kepada waris.

Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Isnin, mangsa dikatakan terjatuh dari feri selepas 10 minit ia bertolak dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

Petugas feri yang membuat pemeriksaan di bahagian bawah dek feri mendapati terdapat sebuah kereta jenis Honda City ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang.

Pihak polis yang menjalankan siasatan mendapati kenderaan itu didaftar atas nama seorang wanita Lye Ah Yin, 73, beralamat di Permatang Pauh.

Pelbagai agensi terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang(APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) terlibat dalam operasi SAR tersebut.