Mayat seorang petugas Majlis Daerah Lipis (MDL) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Jelai dekat Tanjung Jati Kuala Lipis, di Lipis Khamis lalu ditemui pagi Sabtu.

Mayat Asri Sallih, 46 tahun, dari Kampung Tanjung Lipis ditemui terapung kira-kira lapan kilometer daripada tempat mangsa dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa dibawa naik oleh anggota bomba dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Lipis bagi proses bedah siasat.

"Siasatan polis mendapati mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam sungai tersebut ketika membuang air," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi SAR membabitkan lapan pegawai, 29 anggota daripada pelbagai agensi iaitu polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu seramai lima penduduk kampung.