Seorang pelajar Tingkatan Satu dilaporkan hilang petang Jumaat ketika terjatuh dari tepi pantai di Pantai Kemayang di sini, dan tengah malam tadi, mayatnya ditemui.

Mayat Muhammad Fakri Amin Mohamad Asri, 13 tahun, ditemui sekitar jam 12 tengah malam, kira-kira 30 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Dalam kejadian jam 6.15 petang semalam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, Kota Bharu itu dikatakan tergelincir ketika berada di atas batu pemecah ombak dan jatuh di tepi pantai sebelum dibawa ombak.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, kakak mangsa, Noor Attiah Mohamad Asri, 20 tahun, serta seorang lagi rakannya cuba menyelamatkannya tetapi gagal disebabkan ombak besar.

Susulan itu, pasukan bomba berserta polis dan juga orang awam menjalankan pencarian selepas menerima laporan mengenai kejadian.

Yus Heary berkata, Muhammad Fakri yang berasal dari Lundang, Kota Bharu itu telah datang ke kawasan itu bersama keluarga untuk beriadah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.