Mayat remaja lelaki ditemui selepas dua hari hanyut

Mayat remaja lelaki ditemui selepas dua hari hanyut
Mangsa dipercayai cuba menyeberangai sungai sebelum dibawa arus deras. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Mayat remaja lelaki yang dihanyutkan arus deras Sungai Triang berhampiran Kompleks Agropolitan Chemomoi, Bentong dekat sini pada dua hari lalu, ditemui hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata mangsa Sofian Sahar, 14 tahun, ditemui di tebing sungai pada 7 pagi ini.

"Mangsa ditemui anggota yang membuat rondaan di sekitar sungai, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Sofian dipercayai lemas pada 6.30 petang Rabu, selepas ke sungai itu bersama-sama tujuh rakannya untuk mandi.

Mereka dikatakan hendak menyeberangi sungai semasa arus deras yang datang secara tiba-tiba menyebabkan mereka lemas, namun semua rakan mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada berhampiran.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula sejak petang Rabu, melibatkan pasukan Balai JBPM Karak, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai JBPM Bukit Angin, Temerloh dan turut menggunakan khidmat anjing pengesan.

Selain bomba, operasi juga melibatkan anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pasukan bomba sukarela Pelangai.

-- BERNAMA





Tag: mayat, remaja, lelaki, hanyut, arus deras, Sungai Triang, Bentong, JBPM, Mohd Sani Harul, Sofian Sahar, lemas



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.