Mayat reput tanpa kepala ditemui di Langkawi

Mayat reput tanpa kepala ditemui di Langkawi
Setakat jam 6 petang ini, polis Langkawi tidak lagi menerima sebarang laporan atau berita dari pihak berkaitan orang hilang. - Gambar hiasan
LANGKAWI: Mayat dalam keadaan reput serta tidak sempurna tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui di pesisir pantai berdekatan pejabat Imigresen Tanjung Rhu, Langkawi hari ini.

Ketua Polis Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim menjelaskan mayat terbabit ditemukan orang awam pada kira kira jam 2.15 petang.

Namun, keadaan mayat yang berada dalam keadaan terlalu reput, berkemungkinan berada di dalam air terlalu lama, menyebabkan pihak polis tidak dapat membuat pengecaman jantina dan bangsa.
Tambah Iqbal, pihak polis sebelum itu menerusi pejabat pertanyaan Balai Polis Ayer Hangat menerima panggilan dari seorang pekerja konsesi memaklumkan berkenaan penemuan terbabit.

Setakat jam 6 petang ini, polis Langkawi tidak lagi menerima sebarang laporan atau berita dari pihak berkaitan orang hilang.

Semakan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mendapatkan pengesahan dari kawasan sekitar seperti selatan Thailand dan negeri Perlis.

Iqbal menegaskan mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Langkawi untuk tindakan selanjutnya dan siasatan akan dijalankan dibawah kes kematian mengejut (SDR).