Mayat seorang lagi kru kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Tanjung Johor, Muar pada Mac lepas ditemukan oleh pihak kontraktor kapal pada awal pagi Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Muda Maritim Datuk Abu Bakar Idris berkata mayat itu dijumpai terperangkap di dalam bilik jentera utama selepas kerja-kerja bagi menimbulkan semula kapal itu berjaya dilaksanakan.

"Mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Usaha mencari di sekitar kapal turut dilakukan hari ini dengan melibatkan aset laut daripada Maritim Malaysia dan polis marin bagi mengesan sekiranya ada mayat yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dengan penemuan terbaru itu, jumlah mangsa yang dapat dikesan sehingga hari ini ialah sebanyak 13 orang iaitu lapan sudah tidak bernyawa dan lima selamat.

BACA: Dua lagi mayat kru JBB Rong Chang 8 ditemui

BACA: Insiden kapal korek: Pusat SAR ditutup, operasi dipindah ke Batu Pahat

BACA: Seorang lemas, 11 kru kapal korek pasir hilang di perairan Muar


Mangsa yang mati termasuk tiga yang dijumpai di perairan Indonesia. Lima lagi masih gagal ditemukan.

Kapal korek yang membawa 18 kru itu terbalik di kedudukan kira-kira 12 batu nautika barat Tanjung Johor pada 21 Mac lepas.

-- BERNAMA