Polis menahan seorang suspek utama yang juga dipercayai suami kepada seorang wanita warga Bangladesh yang mayatnya ditemui dalam dua buah beg pakaian di tepi jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak, di sini 5 Julai lalu..

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata lelaki warga Bangladesh ditahan di Taman Pengerang, Johor sekitar 2 pagi tadi.


"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Polis yang sebelum ini mengesahkan wanita berkenaan sebagai warga Bangladesh berusia 29 tahun dilaporkan memburu suami mangsa yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 12 tengahari, 5 Julai lepas, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan apabila dikerat kepada beberapa bahagian sebelum anggota badannya dimasukkan dalam dua bagasi berasingan dan diletakkan di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh.