"Ibu apa khabar? Ibu sihat? Sekejap lagi saya nak bertugas, cari orang lemas,".

Demikian merupakan panggilan telefon terakhir diterima Asmah Abdalis ibu kepada Allahyarham Mazlan Omarbaki, anggota bomba yang terkorban dalam misi mencari dan menyelamat di Taman Putra Puchong semalam.

Menceritakan lebih lanjut, Asmah berkata anak kesayangan itu sempat membuat panggilan dari pejabat sebelum tragedi tersebut berlaku.

Beliau ketika ditemui di rumahnya di Batu Payung, Tawau hanya mampu meratapi potret anak tersayang ditemani adik beradik Allahyarham dan ahli keluarga, sementara menanti ketibaan jenazah yang dijangka tiba sekitar jam 5 petang ini.

Ujar Asmah dalam nada sayu, tiada apa yang hendak dikatakan kerana anak tersayang sudah pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

"Allahyarham sudah enam tahun bekerja di sana, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu sejurus bapa iaitu suami saya meninggal dunia," kata Asmah.

Mazlan, 25 tahun dan lima lagi rakannya terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang terjatuh di lombong di Taman Putra Puchong, semalam.