Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa anaknya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan pemberian projek.

Beliau percaya dakwaan berkenaan sengaja ditimbulkan bagi tujuan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin di negeri ini.

"Saya tidak tahu pun anak saya dipanggil SPRM dan dia pun tidak ada cerita apa-apa. Janganlah buat fitnah kata anak saya dipanggil SPRM... anak saya ada di rumah. Saya menafikan anak saya dipanggil. Anak saya tidak terlibat apa-apa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sekiranya benar ada dakwaan sedemikian, adalah tugas SPRM untuk menyiasatnya.

"Sesiapa sahaja seharusnya membuat laporan jika ada bukti kukuh, (dan) bukannya sekadar membuat dakwaan berdasarkan cerita orang lain. Saya melihat banyak tohmahan. Buatlah aduan dan saya tiada masalah, pastikan juga ada buktinya.

"Orang boleh bercerita dan bercakap dalam video. Jadi, kita sebagai penerima berita perlu pastikan sama ada ia betul atau tidak," katanya. - BERNAMA