Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyembah tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu.

Wan Rosdy berkata, beliau dan rakyat di negeri ini bersyukur dan teramat bangga dengan pelantikan ini, yang telah disempurnakan pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu pagi tadi.

"Bagi pihak kerajaan negeri serta rakyat-jelata sekalian, patik mengutuskan setinggi-tinggi sembah tahniah ke sisi Al-Sultan Abdullah atas pemilihan sebagai Agong ke-16,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, beliau penuh berkeyakinan, Al-Sultan Abdullah akan dapat memikul tanggungjawab ini dengan jaya dan cemerlang, seterusnya, dapat membawa kejayaan yang lebih gemilang kepada negara Malaysia yang tercinta.

Pelantikan Al-Sultan Abdullah itu diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu telah mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pagi ini, bagi membincang dan memperkenankan pengganti kepada Sultan Muhammad V, yang meletakkan jawatan sebagai YDP Agong pada 6 Januari lepas.