IPOH:Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan sebaik pulang dari Sabah pada 20 September lepas.

Melalui kenyataan media Pejabat Menteri Besar pada Isnin, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Ia sebagai langkah proaktif tanpa arahan daripada mana-mana pihak, kata kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu lagi, langkah berkenaan diambil Ahmad Faizal susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Sabah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Dalam tempoh ini juga, Ahmad Faizal tidak menghadiri mana-mana majlis rasmi selain semua mesyuarat penting berlangsung melalui sidang video dari kediamannya di Kuala Lumpur.