Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini membidas pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah mengaitkan beliau dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri wanita dari negeri ini.

Amirudin turut mempersoal mengapa dirinya dijadikan sasaran pihak berkenaan dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.

"Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur, tuduhan ini tidak memberi kesan kepada saya secara individu tetapi apa yang saya risaukan ia seperti sudah menjadi budaya bila anda nak bunuh seseorang tetapi tidak dapat mencari salah laku (jadi) anda cipta fitnah.

"Saya melihat sendiri pengalaman di dalam negara, membuat tuduhan yang tidak dapat dibuktikan ini merupakan tindakan untuk mengalih perhatian daripada masalah sebenar yang melanda negara. Kita ada banyak perkara hendak buat, selamatkan ekonomi, perkukuhkan negara, saya pun tidak dapat nak layan tuduhan ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Sayangi Generasiku peringkat Kuala Selangor yang dianjurkan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuduhan pihak tertentu mengaitkannya dengan seorang Adun wanita dari Selangor berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lepas yang tular di media sosial hari ini.

Ditanya sama ada tuduhan seumpama itu mungkin dibuat oleh anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri, Amirudin berkata beliau tidak tahu menahu mengenai hal itu.

Menjawab sama ada tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang membuat tuduhan berkenaan, Amirudin berkata perbincangan telah dilakukan dengan peguamnya dan sekiranya isu itu menjejaskan kredibilitinya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu dadah di negeri maju tersebut, Amirudin yang juga merupakan Pengerusi Pemadam Selangor berkata terdapat 15 'hotspot' dadah di Selangor kini menjadi perhatian kerajaan negeri dan pihak berkuasa.

"Jumlah hotspot ini seimbang, kawasan luar bandar dan bandar, tetapi ia amat serius di kawasan miskin bandar. Antara sebab yang telah dikenal pasti mengapa isu penagihan dadah ini serius di kawasan miskin bandar adalah budaya dan penglibatan bekas penagih yang kembali mengambil dadah.

"Pemadam perlu melihat perkara ini dengan lebih serius, bagaimana untuk menangani bekas penagih ini agar ia tidak mempengaruhi orang lain untuk mengambil dadah," katanya.

-- BERNAMA