Kerajaan sedang mengkaji untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memadam paparan aktiviti penularan maklumat palsu, fitnah serta perkauman di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut akan dikemukakan pada
sidang Parlimen terlebih dahulu sebelum ianya diputuskan.

"Pindaan kepada rangka undang-undang supaya ianya lebih efektif untuk kita tangani masalah ancaman khususnya kepada isu-isu perkauman, isu-isu keagamaan, isu-isu yang menyentuh hal berkaitan raja-raja dan kesultanan," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Khamis.

Katanya, beberapa perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan mengenai perkara itu juga telah diadakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Gobind berkata perkara itu adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan untuk menggubal rang
undang-undang bagi menangani penyalahgunaan media sosial yang semakin meruncing.